ARGA 2: QHARUT

 


Delima tiba di biliknya yang terletak di blok kediaman Teratai. Selesai sahaja memasang cadar dan sarung batal, Delima terus menghempas tubuh di atas katil. Penat betul dia hari itu. Seharian dia duduk di dewan serbaguna Kolej Raja Iskandar Shah (KRIS) untuk menyelesaikan urusan pendaftaran pelajar baru.


Dia memandang kipas siling yang berputar laju. Fikirannya kusut, kalau bukan kerana desakan Tok Arbi, dia memang tidak akan berada di situ. Sejak kecil dia dijaga oleh Tok Arbi, jadi dia tak mampu untuk menolak kemahuan datuknya untuk melihat dia sambung belajar di kolej itu.

"Delima, tok tahu kamu nak ikut jejak langkah tok sebagai pemburu puaka, tapi kamu tak harus abaikan masa depan kamu. Pemburu puaka adalah pekerjaan rahsia ibarat bayang di sebalik identiti sebenar. Tok nak kamu ada kerjaya yang bagus selaku manusia juga." Terngiang kata-kata Tok Arbi ke mindanya.

Ketika itu Delima duduk sambil menikmati air coklat panas di meja bar Kafeteria Akhlaken milik Tok Arbi. Agensi pemburu puaka beroperasi secara rahsia di sebalik kafeteria itu. Kerja-kerja berkaitan perkara mistik perlu dijalankan secara rahsia demi menjaga ketenteraman awam, itu adalah syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa terhadap setiap agensi pemburu puaka.

"Baik tok, tapi saya tak tahu nak sambung jurusan apa." Delima hanya menjeling risalah yang diletakkan oleh Tok Arbi di atas meja.

"Kenapa kamu tak tahu? Otak geliga, keputusan peperiksaan sekolah semua A, macam mana pula tak tahu nak sambung belajar apa?"

Delima berdiam, keningnya dikerutkan. "Tok pilihkanlah, saya ikut saja."

"Hish! Budak ni, dia yang nak belajar, aku yang kena pilih." Tok Arbi menggeleng kepala. Dia masuk ke ruang penyimpanan di belakang meja bar.

"Tok, kalau saya belajar, siapa nak tolong tok dekat kafe ni? Kerja-kerja di agensi lagi..." Kata Delima sambil dia meneliti risalah kolej itu.

"Si Kutub ada, dia boleh tolong tok tengokkan kafe ni. Untuk misi-misi memburu tu, biar Laili dan Jemira uruskan. Janganlah kamu fikirkan sangat." Tok Arbi keluar semula bersama beberapa biji cawan. Dia menyusun cawan-cawan itu di dalam rak di belakang meja bar.

"Klak!" Kedengaran bunyi tombol pintu dibuka.

Lamunan Delima terhenti, dia segera berpaling memandang ke arah pintu yang sedang dibuka oleh seseorang. Seorang gadis memakai baju kurung masuk. Manis orangnya, bertubuh sedikit gempal. Tatkala gadis itu tersenyum, kelihatan sepasang lesung pipit di pipinya.

"Assalamualaikum... Hai!" Ucap gadis itu seraya melambai tangan.

"Waalaikumussalam, Oh! Ha... Hai!" Delima bangkit dari baringan.

"Nama aku, Linda... Linda Lam." Gadis itu memperkenalkan diri. Matanya sepet, berkulit cerah, Linda adalah gadis kacukan. Ayahnya cina dan ibunya melayu.

"Saya Delima, selamat berkenalan." Delima mengukir senyuman. Teman sebiliknya itu tampak peramah. Ada bagusnya juga, Delima agak sukar untuk bersosial, memandangkan kehidupannya hanya berkisar kepada hal-hal mistik.

Tiba-tiba pedang Heruka yang disandarkan di tepi almari bergetar dan jatuh ke lantai. Delima terkejut, begitu juga dengan Linda. Di mata orang biasa seperti Linda, pedang berpuaka itu hanyalah kelihatan seperti payung berwarna hitam. Untuk melihatnya, pancaindera batin perlu dibuka kerana heruka merupakan pedang dari alam ghaib.

"Kenapa?" Delima berbisik tatkala mengangkat semula pedang itu.

"Ada, ancaman mistik di sekitar kawasan ini." Bergema suara garau di minda Delima. Suara itu merupakan suara puaka penjaga pedang tersebut.

"Nanti kita siasat, sekarang tak boleh, Heruka."

"Delima, kau bisik apa tu?" Soal Linda. Dia hairan melihat perbuatan aneh Delima.

"Aa... Ah! Ini, saya tengah hafal sifir tadi." Delima hanya menjawab dengan spontan. Apa pula sifir? Delima menyalahkan diri, Linda semakin hairan dengan ulahnya.

"Sifir apa? Kau okey ke?" Linda risau, manalah tahu kalau-kalau teman sebiliknya itu ada masalah mental. Dia banyak menonton filem thriller, antara tanda-tanda psikopat adalah berbisik-bisik sendirian. Tidak semena bulu romanya meremang.

"Sifir pula, silap... Maksud saya tentatif program! Ha... Saya tengah hafal tentatif program orientasi pelajar baru." Dengan segera Delima mengambil tentatif program di dalam fail dokumen pendaftarannya.

"Oh! Bagus betul kau, ya. Siap hafal, tengok sajalah." Linda menghela nafas lega.

"Saya suka hafal, sebab malas nak tengok banyak kali." Delima terus tersenyum.

Linda mengangguk, dia terus menuju ke almarinya. "Bagus juga, nanti aku tanya kau sajalah. Aku pun malas nak rujuk kertas tu, hehe..."

"Boleh saje..." Delima terus berbaring semula di atas katil. Nampaknya selepas ini dia perlu lebih berhati-hati tatkala berkomunikasi dengan Heruka.

*****

"Penat betul! Lif ada, tapi rosak pula." Hasan merungut sambil meletakkan segala peralatan melukis di atas meja belajar.

"Huarghhh!" Hassan menggeliat, meregang ototnya yang kepenatan setelah mengangkut barang ke biliknya yang terletak di tingkat empat blok kediaman Kekwa. Sudah masuk tahun ke enam dia terkandas di KRIS kerana masih ada lagi subjek teras yang tidak lulus.

Tiba-tiba Hasan teringatkan geliga tangkal yang diberikan oleh seorang lelaki tua ketika di dalam perjalanan pulang dari kedai alat tulis. Dia mengeluarkan geliga berwarna hitam berkilat itu dari poket seluar.

"Betul ke ni batu tangkal kencing malam?" Hasan membelek-belek geliga itu. Pada bahagian tengah geliga itu terdapat bukaan tirus berwarna jingga. Bentuknya macam anak mata kucing.

Sejak semester lalu, dia hanya tinggal seorang diri di bilik itu setelah rakan sebiliknya berpindah kerana tak tahan untuk menghidu bau hancing. Hasan akan terkencing ketika tidur jika mengalami mimpi seram. Dia sendiri tak tahu punca masalahnya itu, pelbagai kaedah perubatan telah dicubanya, namun masalahnya tetap tidak dapat diselesaikan.

"Simpan sajalah, manalah tahu berkesan." Fikir Hasan seraya menyimpan semula geliga itu di dalam kocek seluarnya.

"Baik tidur dulu, sekejap lagi ada program orientasi budak baru, Tak guna Aslan! Letak nama aku pula jadi fasilitator." Hasan merungut sendirian.

Aslan pernah jadi teman sebiliknya dua tahun lalu. Selepas menamatkan pengajian di dalam jurusan kejuruteraan perisian, Aslan berkerja sebagai kakitangan kontrak di kolej itu memandangkan kepakarannya di dalam bidang multimedia sangat diperlukan.

Hasan terjaga apabila mendengar bunyi bising. Dia cuba membuka mata walaupun kantuk masih tersisa. Dia bangkit dan duduk bersila di atas katil. Badannya masih terasa lesu meskipun sudah berehat.

"Mengantuk sangat gayanya, petang-petang tak boleh tidurlah, boleh jadi gila," kata seorang pemuda yang duduk di katil sebelah. Dia hanya tersenyum ketika melihat Hasan yang masih terpisat-pisat.

"Letihlah bro jalan kaki tengah panas, aku baru balik dari kedai Rahath tadi beli alat tulis, roommate aku ke kau ni?" Soal Hasan.

"Ya, aku berkongsi ruang dengan kau mulai hari ni, kau setuju tak?"

"Boleh saja, tapi nanti aku rasa kau pun tak tahan duduk dengan aku."

"Eh! Kenapa pula?"

Hasan hanya melepas keluhan mengenangkan masalah dihadapinya. Dia malu hendak memberitahu teman sebiliknya itu.

"Tak ada apalah. Aku Hasan, siapa nama kau?"

Pemuda tidak terus menjawab, dia hanya mengangkat kad pelajarnya.

"Qharut? Peliknya nama kau. Dekat-dekat dengan karut." Hasan tersengih.

"Jangan mainkan nama orang, tak baik bro. Kau tak pernah dengar nama aku?" Pemuda itu menyimpan semula kad pelajarnya.

Hasan menggeleng. "Kau artis ke? Atau influencer?"

"Kau boleh tahu sendirilah nanti."

"Sorry... Aku memang tak ambil peduli sikit pasal duniawi ni, harap kau okey sajalah duduk dengan aku."

"Dengan berbesar hati aku terima tawaran kau." Qharut menghulurkan tangannya untuk berjabat.

Hasan menyambut huluran tangan Qharut. Ketika dia memegang tangan pemuda itu, Hasan dapat merasakan seolah ada tenaga yang meresap masuk ke dalam tubuhnya. Qharut terus menggenggam kemas tangan Hasan sambil mengukir senyuman yang mencurigakan.

"Bro, apa ni? Kau gay ke? Jangan buat hal dengan aku." Hasan cuba menarik tangannya, namun gagal.

"Kita berkongsi ruang, bukan?" Semakin kuat Qharut menggenggam tangan Hasan.

"Sakitlah gila! Sial, kau gay rupanya!" Hasan cuba mengangkat penumbuk, namun sendinya bagai dikunci oleh satu daya. Telapak tangannya yang digenggam Qharut mula terasa hangat. Tubuhnya terasa panas seperti disalai di atas bara api.

"Lepaskan aku!" Hasan terus mencuba.

Tiba-tiba muncul api marak menjilat seluruh tubuh Qharut. Kulit dan dagingnya meluluh perlahan dibakar api sehingga yang tinggal hanya rangka tulang.

"Hantu, jangan bunuh aku, banyak benda lagi aku tak capai, grad pun belum, awek pun tak ada lagi." Hasan ketakutan.

"Bunuh? Tak, aku takkan bunuh teman sebilik aku sendiri." Sebaik sahaja Qharut habis berbicara, api di sekeliling tubuhnya bertambah marak dan mula merebak ke tubuh Hasan.

Qharut melepaskan genggaman tangannya dan membiarkan Hasan berguling-guling kesakitan, menahan kepanasan api yang marak membakar tubuhnya.

"Hah!" Hasan terjaga dari tidur. Dia bangkit dari baringan. Tubuhnya bermandi peluh. Dia meraba-raba cadar tilam, masih kering. Selalunya jika dia mengalami mimpi yang menakutkan, dia akan terkencing tetapi tidak pula kali ini.

"Pergh! Real betul mimpi tu." Hasan mengesat peluh dengan baju. Dia berkalih memandang katil sebelah, tilam di situ masih tidak bercadar.

"Aku duduk seorang lagi, bagus!" Hasan bangun dan menanggalkan pakaian yang dibasahi peluh.

Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada mesej baru diterima. Mesej itu datangnya dari Dom yang merupakan ketua fasilitator program orientasi. Dom mengingatkannya supaya tiba lebih awal ke dewan serbaguna untuk persiapan program pada malam itu.

"Budak junior ni, tak reti nak hormat super duper senior macam aku ni." Hasan menyimpan semula telefon dan pergi mandi untuk membersihkan badannya yang sudah berbau tengik. Selesai bersiap, dia menapak keluar dari bilik dan terus sahaja ke dewan serbaguna yang terletak tidak jauh dari blok kediamannya.

Ulasan