Cahaya matahari petang menyelinap masuk melalui tingkap kaca kafeteria lama, memantul malap di atas lantai yang masih berselerak dengan kerusi dan meja yang dialihkan secara tergesa-gesa. Bahang luar terasa samar, namun udara di dalam kafe kekal dingin, seolah-olah ruang itu terpisah daripada waktu sebenar. Bau seakan susu basi bercampur hapak, membentuk satu suasana yang tegang dan tidak selesa.
Hasan tersedar lalu menghembus satu keluhan panjang.
Seluruh tubuhnya terasa berat, sendi-sendinya lenguh seakan dikerah bersenam selama berjam-jam tanpa henti. Dia duduk perlahan di birai bangku panjang, menggosok wajah dengan kedua-dua belah tangan.
“Aku mimpi ke apa ni? kenapa aku dekat kafe?” gumamnya.
“Awak dah bangun.”
Suara itu membuatkan Hasan memutar pandangan serta-merta. Dia mengerjapkan mata beberapa kali. “Eh… kau? Ketua kumpulan nombor lima, kan?”
Delima berdiri tidak jauh darinya, bersandar pada meja kaunter kafe. Tudung hitamnya kemas, wajahnya kelihatan letih tetapi tenang. Cahaya petang dari luar tingkap membentuk bayang lembut di belakang tubuhnya, menjadikan kehadirannya kelihatan jelas dan stabil di tengah kekacauan yang tidak kelihatan.
“Pukul berapa dah ni?” tanya Hasan, suaranya masih serak.
“Hampir empat petang,” jawab Delima. “Awak pengsan lama.”
Hasan mengeluh kecil. “Patutlah badan aku rasa lemau semacam.”
Delima menghulurkan sebotol air mineral. Hasan menyambut dan meneguk rakus, seolah-olah baru kembali dari perjalanan jauh.
“Semua orang lain mana?” tanya Hasan.
Delima diam seketika sebelum menjawab. “Masih dirasuk. Ada yang semakin teruk. Ada yang langsung tak sedar diri.”
Hasan menggaru kepala. “Hebat. Kampus zombie edition. Kalau ada Netflix, dah jadi siri dah ni.”
Beberapa saat berlalu sebelum Hasan menyedari kehadiran seorang kanak-kanak kecil di sudut kafe.
Budak lelaki itu duduk di atas bangku rendah, kakinya tergantung tidak mencecah lantai. Rambutnya kusut, matanya merah dan sembap. Dia memeluk dirinya sendiri, jari-jarinya menggenggam hujung baju dengan erat. Pandangannya kosong, seolah-olah masih terperangkap dalam kejadian yang belum berakhir.
Hasan mengerutkan dahi. “Budak ni…”
“Yusof,” kata Delima perlahan. “Dia anak tukang masak kafe ni.”
Hasan menoleh perlahan ke sekeliling. Barulah dia benar-benar menyedari keadaan kafe itu. Beberapa tali kain dan kabel elektrik diikat kemas pada kaki meja besar di belakang kaunter. Di situ, seorang wanita dewasa terbaring mengiring, tubuhnya diikat rapi. Dadanya turun naik tidak sekata. Wajahnya pucat, bibirnya kebiruan, dan di sekitar matanya jelas urat-urat kehitaman yang masih belum lenyap sepenuhnya.
Hasan menelan liur.
“Emak dia ke tu?” soalnya perlahan.
“Ya,” jawab Delima. “Masih kerasukan masa saya jumpa dia. Saya ikat… supaya dia tak mencederakan sesiapa. Terutama anak dia.”
Hasan menghembus nafas panjang. Untuk sekali, dia tidak cuba untuk bergurau.
“Okey,” katanya perlahan. “Ini dah melepasi tahap tak masuk akal.”
Yusof tidak bersuara. Namun apabila Hasan bergerak sedikit, budak itu mengangkat kepala dan memandangnya. Pandangan itu kosong, tetapi ketakutan di dalamnya masih jelas, mentah dan belum sempat reda.
Hasan cuba tersenyum, walaupun senyum itu kaku. “Hoi… abang ni yang tolong kau semalam. Ingat tak?”
Tiada jawapan. Yusof hanya menundukkan kepala semula.
“Dia masih trauma,” kata Delima. “Sejak kejadian tu, dia hampir tak bercakap.”
Hasan hanya mengangguk perlahan.
Delima kemudian menyambung, nadanya berubah lebih serius. “Sebenarnya saya nak cari orang yang masih sedar untuk minta bantuan. Saya terdengar bunyi masa lalu depan kafetaria ni tadi, saya masuk, tengok awak terbaring dan Yusof macam itulah..."
Hasan memandangnya. “Dah jumpa bantuan?”
“Awak dan Yusof saja yang tak dirasuk,” jelas Delima. “Yang lain, sama ada sudah dirasuk sepenuhnya, atau sedang menuju ke arah itu.”
Hasan menyandar ke bangku. “Hebat, betul-betul dah jadi drama zombie bersiri dalam Netflix.”
Dia menggaru kepala. “Jadi aku ni… calon lelaki harapan terakhir?”
“Buat masa ni, ya,” jawab Delima tanpa berlapik.
Hasan ketawa kecil, hambar. “Kalau mak aku tahu, mesti bangga. Anak dia jadi lelaki harapan terakhir.”
Delima tidak membalas jenaka itu. Dia memandang ke arah pintu kafe. “Kita tak boleh kekal di sini. Kawasan ni makin tak selamat. Saya nak cuba keluar, cari bantuan luar.”
Hasan mengangguk. “Setuju. Aku pun tak bercadang nak tunggu sampai waktu di ambang maghrib, lagi seram.”
Mereka bergerak keluar dengan berhati-hati. Hasan membawa sebatang penyapu, Delima mendahului, sementara Yusof berjalan rapat di belakang Hasan, sesekali menarik hujung bajunya apabila terdengar bunyi aneh dari kejauhan.
Cahaya petang menyimbah laluan utama kampus dengan warna keemasan. Beberapa pelajar perempuan berdiri kaku di tepi jalan, ada juga yang duduk bersila sambil bergumam perlahan. Mata mereka kosong, wajah mereka tegang.
“Jangan pandang mereka,” pesan Delima.
Hasan mengangguk. “Percayalah, aku memang tak nak buat eye contact dengan awek versi kesurupan macam tu.”
Akhirnya mereka tiba di pintu pagar utama kampus.
Hasan mempercepat langkah. “Okey… nampak macam normal. Itu pondok guard. Kalau abang guard tu masih manusia—”
Langkahnya terhenti.
Di hadapan pagar utama, udara beriak seperti permukaan air. Cahaya petang di luar kelihatan terdistorsi, seolah-olah dunia di luar pagar itu wujud di dimensi lain. Lampu jalan di luar pagar kelihatan bengkok, seolah-olah dipantulkan oleh cermin yang tidak rata.
Hasan mengerutkan dahi. Dia melangkah setapak ke hadapan dan menghulurkan tangan.
Tap.
Tangannya tersekat oleh sesuatu yang tidak kelihatan.
“Apa benda ni?” suaranya menegang.
Delima berdiri kaku, wajahnya berubah serius. “Tembok.”
“Tembok?” Hasan berpaling. “Kenapa rasa macam final boss area dalam game saja?”
“Tembok ghaib,” jawab Delima. “Seseorang menyerunya untuk mengurung kita sebagai subjek ujian.”
Hasan memandang Delima dengan reaksi ragu. " Macam mana kau tahu? Kau bomoh ke?"
"Bukan... Tak ada masa nak terangkan sekarang, nanti panjang lebar awak tanya." Delima juga berasa curiga terhadap Hasan, kerana sedari tadi dia perasan Hasan tidak didekati oleh tenaga serakah, begitu juga dengan Yusof.
Yusof menggenggam lengan Hasan. Jarinya sejuk.
“Kita… tak boleh keluar?” suara budak itu bergetar.
Delima berlutut, merenung sejajar wajah Yusof. “Buat masa ni, tak boleh lagi, Yusof.”
Hasan menghembus nafas panjang, memandang dunia luar yang kelihatan begitu dekat tetapi mustahil dicapai. “Okey... Rancangan minta bantuan luar… dengan rasminya telah gagal.”
Dia memandang Delima. “Sekarang apa?”
Delima berdiri tegak. “Sekarang kita bertahan. Dan cari siapa yang letakkan tembok ghaib ni.”
Hasan tersenyum pahit. “Hebat. Petang-petang macam ni biasanya orang cari kopi viral… Kita pulak cari punca masalah zombie alam ghaib.”
Di luar benteng ghaib itu, dunia terus berjalan seperti biasa tanpa menyedari ada tiga insan terperangkap dalam satu krisis yang dirancang rapi di dalam kolej itu.

Ulasan
Catat Ulasan