KISAH SERAM DOBI

 


Nahi melangkah longlai menuruni tangga stesen LRT. Mulutnya mengunyah sosej yang dibelinya sebelum naik LRT tadi. Sakit hatinya apabila terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk tambang pulang.


"Masa pergi tadi boleh kasi ambil, bila balik tada mau hantar pula, tak guna punya polis, kasi susah sama saya," rungut Nahi. Gaji belum masuk lagi, jadi terpaksalah dia mengalas perut dengan sosej goreng.


"Aldi, harap awak kasi masaklah sesuatu di rumah, saya banyak lapar ni," getus hati Nahi. 


Ketika melewati pagar hospital, Nahi mengangkat tangan kepada Jai yang sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan.


"Woi! Nahi, mai la lepak sini," panggil Jai.


Nahi mengabaikan sahaja panggilan Jai. Dia terlalu penat untuk melayan Jai si putar alam bersembang. Dia hanya mahu sampai ke rumah dengan lebih cepat sahaja. Maka dia mempercepatkan langkahannya kerana bimbang Jai keluar dari pondok itu dan memaksanya untuk melepak di situ.


"Nahi! La ni, hang dah sombong dengan aku ya," laung Jai.


Nahi pekakkan telinga sahaja dan terus berjalan pergi dari situ. Nahi melalui jalan pintas yang melewati kawasan hospital untuk pulang ke rumah. Setelah keluar melalui pintu belakang hospital itu, dia hanya perlu berjalan sedikit sebelum tiba di rumah sewanya yang terletak di kawasan perumahan setinggan Mengkirai Madu.


Ketika berjalan, tiba-tiba tekaknya berasa haus. Sosej goreng yang berminyak tadi membuatkan tekaknya terasa perit. Dia menyeluk kocek, dengan harapan masih ada duit yang berbaki untuk dia membeli air minuman. 


"Ada habuk saja tinggal? Matilah saya kehausan kalau ini macam."


Dia berjalan lemah, kehampaan mengisi kalbunya. Tiba di kaki lima bangunan unit dietetik, dia terpandangkan pili air yang ada di situ.


"Air paip pun jadilah, darurat sudah ini." Setelah yakin tiada orang lain berada di situ, Nahi terus menyuakan muncung pili itu ke dalam mulutnya.Tekaknya terasa nyaman setelah dibasahi air dingin daripada pili tersebut. 


"Ahhhh! Nikmatnya ini air, lazatnya sehingga menjilat jari kaki." Nahi memejam mata ketika mengecapi rasa dingin dan berklorin air paip tersebut.


"Hoi! Buat apa?" Sergah seorang lelaki dari arah belakang Nahi. 


Nahi tersentak lalu menarik tubuh ke belakang. Air di dalam mulutnya habis tersembur ke muka lelaki yang menyergah tadi. 


Lelaki tersebut mendapat balasan setelah air berbau mulut busuk membasahi jaket hitam yang dipakainya. Dia mencium jaketnya. "Jilaker! Bau longkang air mulut kau ni, Nahi."


"Ipin, kasi maaflah... Saya tada sengaja juga, banyak terkejutlah tadi." Nahi disesah rasa bersalah. 


Ipin turut berkerja sebagai pengawal keselamatan di hospital tersebut. Dia mengenali Nahi kerana mereka berdua sering melepak di warung Pak Munawer yang terletak di kawasan belakang hospital.


Ipin hanya berdiam diri. Riak wajahnya pegun dan dingin. Matanya mencerlung tajam merenung Nahi yang berkeadaan serba tidak kena. Ipin menanggalkan jaketnya, lalu dilemparkan ke muka Nahi.


"Aku nak kau basuh balik jaket tu, ni jaket edisi khas kau tau?"


"Alah! Kasi ampunlah Ipin, jangan marah itu macam."


"Ampun tak ampun, kau tengok jaket tu jaket apa?"


Nahi membelek jaket tersebut. Di bahagian belakang jaket itu disulam dengan perkataan 'LAXMANA'. Di atas perkataan tersebut ada logo keris dan pedang yang bersilang di atas perisai bulat.


"Apa ni, Ipin? Tada tahulah saya." 


"Laxmana tu nama unit keselamatan JKK kawasan ni, kau jangan main-main, AJK keselamatan saja boleh pakai jaket ni tahu?"


"Oh! Saya ingat apa tadi." Nahi tergaru-garu kepala. 


"Aku bagi buah pukul nak? Jangan pandang enteng pada laxmana." Ipin mengacah-acah mahu memukul Nahi.


"Ampun-ampun, Ipin. Jangan kasi silat sama saya, nanti malam saya kasi terus basuh jaket awak ni." Nahi berasa gerun kerana dia tahu Ipin mahir dengan ilmu persilatan. Selain bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital itu, Ipin juga merupakan guru silat sambilan di sebuah kolej berdekatan.


Ipin tergelak melihat telatah Nahi. "Aku gurau saja Nahi, itulah aku suruh datang belajar silat di gelanggang aku, kau tak mahu. Kalau tak, ada sesiapa gertak kau tak gentar punya."


"Dey Ipin! Awak punya gelanggang tu budak kolej ramai, malulah saya." Nahi berasa lega, apabila tahu Ipin hanya bergurau.


"Eh! Sudahlah Nahi, aku nak meronda ni, kau jangan lupa basuh jaket aku tu, kalau kau lupa aku lesing kepala kau."


Nahi hanya mengangguk laju. Ipin menepuk bahu Nahi sebelum berlalu pergi meninggalkan Nahi sendirian di situ. Setelah kelibat Ipin hilang dari pandangan, Nahi menyambung perjalanannya untuk pulang ke rumah.


Disebabkan rasa bersalah kerana mengotorkan jaket Ipin, pada malam itu juga Nahi pergi membawa jaket itu ke dobi layan diri yang terletak bersebelahan dengan kedai minimart hospital.


Di rumahnya memang ada mesin basuh, dia sendiri yang beli mesin basuh itu. Namun sudah dirosakkan oleh Aldi dengan membasuh tilam menggunakan mesin basuh tersebut. Geram hatinya bila mengingatkan kejadian itu. 


Seperti lazimnya di waktu tengah malam, keadaan di dobi tersebut lengang tak berorang. Ketika Nahi sampai, hanya ada seorang gadis sedang memasukkan pakaian di dalam salah satu mesin pengering.


Setelah mendapatkan syiling khas mesin cuci, Nahi terus sahaja memasukan jaket berserta dengan beberapa lagi pakaiannya ke dalam mesin cuci. Kemudian, dia duduk bersantai di atas bangku menunggu.


Sambil menunggu pakaian dibasuh, Nahi menonton video youtube mukbang makanan korea. Lapar pula terasa apabila melihat youtuber tersebut makan dengan gelojohnya.  Hendak beli makanan, duit pula tak ada. Teguk air liur sahajalah yang mampu dilakukannya.


Usai video ketiga ditonton Nahi, gadis tadi masih lagi tertonggeng-tonggeng di depan mesin pengering, seolah sedang mencari sesuatu di dalam mesin tersebut.


Pada awalnya, Nahi biarkan sahaja tapi disebabkan terlalu lama, dia mula berasa hairan. Lagipun selaku seorang lelaki budiman, dia berasa kurang selesa untuk menunggu di situ. Dia bimbang dianggap cuba mengintai punggung gadis tersebut.


"Cik, awak kasi baiki mesin ke? Banyak lama saya tengok," soal Nahi.


"Tak adalah, saya cari barang saya sebenarnya." Gadis itu menjawab tanpa berpaling ke arah Nahi.


"Cari barang,patutlah lama situ, mau saya kasi tolong cari ka?" Nahi cuba bertidak selaku lelaki budiman.


"Boleh juga, sebab saya tak nampak nak cari kalau tak pakai benda alah tu."


"Oh! cermin mata ka? Macam mana boleh masuk dalam sana?" Nahi pun bangun dan mendekati gadis itu.


Tiba-tiba gadis tersebut berpaling pantas kepada Nahi. "bukan cermin mata, tapi mata saya."


Nahi terkaku apabila melihat wajah gadis itu tanpa bola mata. Soket mata gadis tersebut kosong dan darah mengalir keluar dari kedua-dua belah lohong matanya. Nahi rasa macam hendak terkucil, tapi dia tahan sebolehnya. 


"Eh! Awak kasi cari du... dulu, saya punya sabun tinggal di rumah," Nahi memberi alasan untuk cabut lari. Dia berlari selaju mungkin tanpa menoleh ke belakang lagi. Basikal kesayangannya pun ditinggalkan sahaja.


Termengah-mengah dia berlari sehingga tiba di hadapan jabatan dietetik. Dia melepas lelah di situ, jantungnya berdetak pantas. Rasa hendak pitam setelah berlari selaju itu, dia bersandar pada tiang di kaki lima. 


"Teda guna punya hantu dobi, kasi takut sama saya," rungutnya.


"Nahi...Nahi..." Tiba-tiba telinga Nahi menangkap bunyi suara halus, sayup-sayup memanggil namanya. Nahi mematung, telinganya terus menumpu kepada bunyi suara itu. 


"Tada mungkinlah itu hantu boleh ikut saya, dia tada nampak, tak mungkin boleh ikut," fikir Nahi.


"Nahi...Nahi..." Mandayu-dayu suara itu memanggil namanya. Bulu roma Nahi mula meremang. Ditambah pula dengan bayu dingin malam menyapa tubuhnya, membuatkan Nahi mula dicengkam ketakutan semula. 


Tiba-tiba Nahi teringat, tempat dia berdiri itulah tempat kali terakhir dia berjumpa Tuan Sadiq. Dia segera berpaling memandang cermin gelap di sebalik tiang besar itu. Bagai hendak luruh jantungnya apabila dia melihat imej susuk gadis berlumuran darah pada cermin tingkap itu. Gadis itu melebar senyuman kepada Nahi.


"Me... Memang betul! Tuan Sadiq kena culik sama hantu." Tanpa berlengah lagi, Nahi segera menghayun langkah seribu meninggalkan tempat itu. 


Semak samun habis diranduknya demi sampai ke rumah dengan cepat. Parit pun dilompatnya, walhal kalau difikirkan, parit selebar itu mana mungkin boleh diseberang hanya dengan melompat sahaja. Nahi terus berlari hingga tiba di rumah. Sesampai di kaki tangga, dia termengah, peluh membasahi segenap tubuhnya.


"Apaan sih kamu ini, bermaraton tengah malam begini?" tegur Aldi yang duduk di ambang pintu, setelah melihatkan Nahi tunduk dan tercungap-cungap mengambil nafas.


"Al... Aldi, saya suda tahu, saya suda tahu mana Tuan Sadiq pergi hilang, Su... su... sudah ku tahu Aldi!" tergagap Nahi bertutur, nafasnya tersekat akibat terlalu penat.


"Naik dulu, berehat, nanti kamu ceritakan pada aku." Aldi mula gusar melihat keadaan temannya itu, seakan hendak pitam.


Nahi gagahkan diri untuk melangkah mata tangga. Dia berjalan longlai menuju ke kamarnya. Sampai di jendang pintu bilik, Nahi menghentikan langkah seraya berpaling memandang Aldi yang sibuk menggoreng gitar di muka pintu.


"Aldi! esok malam, awak kasi teman sama saya, kita kena selamatkan Tuan Sadiq," pinta Nahi tiba-tiba dengan mimik wajah bersungguh sambil mengangkat sebelah tangan yang digenggam kemas. 


Aldi berhenti memetik tali gitar, lalu mendongak memandang Nahi.


"Selamatkan Tuan Sadiq? Siapa yang kidnap dia?" Soal Aldi, kebingungan.


"Nanti awak tau juga," balas Nahi pendek. Dia segera masuk ke kamarnya meninggalkan Aldi melongo bingung di muka pintu rumah bersama gitar kapoknya.


Nahi terus melabuhkan tubuh di atas katil. Dia tidak boleh terlelap meskipun badannya terlalu penat. fikirannya terganggu, "Kenapa saya rasa macam ada tertinggal sesuatu, tapi apa?"


Ulasan