SAKA POKEMON




Anak mata Zarkashi hanya terpegun tidak berkalih sedikit pun, pandangannya tertacap  pada skrin telefon pintar kesayangannya itu. Peranti berjenamakan Sony itu tidak terlekang lansung dari pegangnya dek kerana terlalu asyik dengan aplikasi permainan pokemon go yang dimuat turun olehnya seminggu lalu. 


Bayu malam bertiup dingin menyapa ke pipi anak muda itu. Dia melangkah perlahan melewati lorong gelap di belakang deretan bangunan kedai, perawakannya seakan mencari sesuatu atau mungkin seseorang. Aroma busuk sampah dikiri dan kanan bangunan itu diendahkan sahaja oleh Zarkashi meskipun dadanya sudah menyesak dengan bau yang kurang menyenangkan itu.


“Dalam map ni ade beacon kat sini” Zarkashi menghentikan langkahnya, meninjau-ninjau sekitar kawasan itu. Lengang, tiada kelibat sesiapa di situ. Dia menyulung langkah semula untuk meninggalkan lorong busuk itu. 


“Takkan nak blah dah?” kedengaran suara asing menegur Zarkashi yang masih leka menatap skrin telefon pintarnya. Zarkashi segera berpaling mencari empunya suara. 


“Apakata kau beri semua pokemon kau pada aku? Atau lebih tepat phone mahal kau tu serah pada aku?” ujar seorang lelaki botak dan berbadan tegap tersengeh jahat dengan ditangannya menghunus sebilah pisau rambo kepada Zarkashi.


“Kalau aku tak bagi?” meskipun hatinya terasa gentar, Zarkashi cuba untuk sorokkan perasaan gementar itu. Dia tidak mahu penyangak di depannya kini menguasainya. Lelaki menghunus pisau rambo itu hanya tersenyum sinis.


“Kalau kau tak bagi, nyawa kau melayang” suara lain pula bergema. Kali ini seorang lelaki lain pula datang dari arah bertentangan. Lelaki berkacamata itu menimang-nimang besi pemukul di tangannya. Zarkashi menelan air liur kelat, peluh mula mengalir di dahinya. Dia terkepung di dalam situasi getir itu. 


“ Aku tidak akan bagi pada kau orang phone aku ni!” Zarkashi berkeras. Bermati-matian dia tidak akan menyerahkan telefon pintar yang dianggap olehnya sebagai nyawa. Apa nak jadi, jadilah phone ini tidak akan aku serahkan kepada sesiapa. Tekad Zarkashi di dalam hatinya. “penyangak bodoh macam kau orang ini aku tak takut sikit pun” 


“Kalau macam tu, kau lebih sayangkan phone kau tu daripada nyawa kau?” lelaki botak memegang pisau rambo itu mula membengis. Ugutannya tadi tidak terkesan pada Zarkashi bahkan dia dihina oleh Zarkashi pula. “kalau macam tu kau boleh mati!” 


Lelaki botak itu meluru pantas dengan mata pisau dihalakannya ke arah Zarkashi. Namun, Zarkashi tidak mahu berserah sahaja. Dia mengelak serangan lelaki itu, lalu dihentaknya siku ke tengkuk lelaki botak itu. Maka tersembamlah lelaki botak itu di atas permukaan kasar tar jalan. Belum sempat Zarkashi menarik nafas lega satu hentakan keras hinggap di rahang kanannya. Zarkashi berpusing lalu menyembah bumi.


Berpinar pandangan Zarkashi, dia mengosok rahangnya. Sakit, terlalu sakit dihentak dengan pemukul besi itu. Zarkashi mengerah sisa tenaganya untuk menongkat kembali dua kakinya, jika dia tidak mampu melawan sekalipun, dia masih mampu membuka langkah seribu. Melarikan diri dari kejahatan dua penyangak itu, mana mungkin dia boleh menang dengan menentang dua orang sekaligus bahkan tanpa bersenjantakan apa-apa pula. 


Sedang Zarkashi berhempas pulas mengumpul kekuatan untuk bangun, lelaki botak itu menerpa pantas. Hatinya dikawal amarah. Lantas dia merodok pisau rambonya ke kanan perut Zarkashi. Mata Zarkashi terbeliak menerima tikaman itu, dia tidak menduga serangan itu. Kesakitan mula menjalar di tiap urat di abdomennya. Darah mengalir pantas dari bukaan luka tikaman itu. 


Zarkashi terdorong ke belakang. Kakinya tidak mampu lagi berdiri teguh, lalu Zarkashi jatuh melutut. Tangannya dilumuri darah merah tatkala memegang pisau yang masih terpacak di perutnya. Pandangannya kian kabur, dia sudah kehilangan banyak darah. Dua penyangak yang menyerangnya itu hanya memandang, mereka biarkan sahaja Zarkashi merengsa kesakitan diambang maut.


“kau orang akan menyesal” Zarkashi tumbang ke bumi sebaik sahaja bicara terakhirnya dilafazkan dari bibirnya. Matanya terpejam rapat. Kaku, tiada lagi gembut di dadanya. Nafasnya sudah berakhir di tangan penyangak itu. Lelaki botak yang menikam Zarkashi disesah gelisah, inilah kali pertama dia membunuh orang ketika melakukan rompakan.


“sudah Adi! Kita lari, nanti ada orang nampak” lelaki berkacamata itu menyergah menyedarkan rakan jenayahnya itu dari terus terbelenggu perasaan gelisah. “tapi, sebelum tu kau ambil barang berharga dulu, tu phone sony z5 tu, mahal..”


Si Botak hanya mengangguk, dia terlalu takut untuk berkata apa-apa di saat itu. Dia segera memungut segala barangan berharga milik Zarkashi yang sudah terbaring pegun disitu. Tangannya terketar-ketar di saat mengambil telefon pintar milik Zarkashi.


“Kau takut apa? Dia dah mati” lelaki memakai kacamata itu tidak mampu menahan sabar lagi, mereka harus cepat berlalu meninggalkan tempat itu. Selesai memungut segala barangan berharga Zarkashi, lelaki botak itu segera kembali mendapatkan temannya itu. 


Kemudian mereka segera mengangkat kaki meninggalkan lorong sunyi itu. Tinggallah tubuh Zarkashi dengan darah likat mengalir perlahan menebar ke permukaan tar jalan. Seekor burung gagak hitam terbang melayang meliuk bayu malam, merendahkan terbangannya hingga dia mendarat di atas jasad Zarkashi yang terbaring kaku itu. Burung gagak itu mengepak beberapa kali mengimbang hinggapannya. 

*****


Angin malam bertiup sayu, bagai menangisi sesuatu. Rembulan mengambang penuh, diliputi kepulan awan kelabu yang sarat kandungannya. Kilat memancar cerah, membelah atmosfera kelam. Seekor burung gagak berterbangan, terus melayang hingga dia menghinggap di ranting sepohon pokok mati dihadapan sebuah rumah teres kos rendah yang begitu usang keadaannya. Matanya merah saga memerhati dua penghuni rumah itu dari jendela yang terbuka.


“Adi kenapa dengan kau ni?” Adi tersentak seraya berpaling memandang sahabatnya, Yandri yang duduk menikmati biskut kering bercicahkan air milo panas.


“Yandri, kau rasakan polis dapat tak jejak kita.” Adi membetulkan kedudukannya di atas sofa lapuk berspring itu. Hatinya terganggu dengan kejadian tadi. Sepatutnya dia mengawal amarahnya, tetapi segalanya telah terjadi.


“kau relex je, macam mana polis boleh jejak kita pula?” Yandri meletakkan mug terisi dengan milo panas itu di atas meja. “pisau kau ambil semula kan? Dah siap basuh dah tengok tu” Yandri menjuihkan bibirnya ke arah pisau rambo milik Adi di atas meja itu. Adi mengangguk perlahan ada benarnya kata Yandri itu, segala bukti telah mereka larikan. Namun hatinya masih tidak tenteram bagai ada sesuatu yang tidak kena.


“eh! Sudahlah! Mana phone yang kau ambil tu?” tiba-tiba Yandri menepuk bahu Adi. “bagi aku tengok juga, esok kita jual..mesti mahal” ujar Yandri dengan mulutnya penuh dengan biskut kering, serpih-serpih biskut itu terloncat keluar dari mulutnya di saat dia bertutur.


“Ada ni, sim card dia aku dah buang tadi” Balas Adi, dia menghulurkan telefon pintar yang di ambilnya dari Zarkashi kepada Yandri. Yandri tidak terus mengambil telefon yang dihulurkan oleh Adi itu, dia meneguk habis air milo di dalam mug itu. Kemudian barulah telefon itu disambutnya.


“kelakar kan?” Yandri tersengeh membelek-belek telefon sony Z5 berwarna hitam itu.


“kenapa?” Adi menuntut penjelasan dari Yandri.


“aku tak sangka budak tu boleh masuk dalam jerat kita” Yandri menekan butang di sisi telefon itu untuk menghidupkannya. Adi hanya berdiam diri tanpa memberi respon kepada Yandri, kematian Zarkashi masih terbayang di dalam benaknya. 


Adi mencapai pisau rambo yang menjadi alat meragut nyawa pemuda malang itu tadi. Mata pisau itu dilurutnya perlahan dengan jemarinya. Bau hanyir darah masih tercium dari mata pisau itu biarpun sudah dibasuhnya berkali-kali waima dengan sabun sekalipun. “Kau orang akan menyesal!”  Terngiang-ngiang suara Zarkashi menutur ancaman sebelum dia rebah menghembus nafas terakhir. segala ingatan itu memutar sahaja, menganggu fikiran Adi.


“Macam yang aku kata, kau orang pasti akan menyesal” Adi tersentak, dia kenal suara itu. Suara itu adalah suara pemuda yang dibunuhnya tadi. Dia segera berpaling memandang empunya suara. Bukan Yandri disebelahnya, tetapi pemuda yang dibunuhnya tadi duduk di tempat Yandri itu. Tangan Adi terketar, ketakutan mula merebak di dalam atmanya. Dia terdorong kebelakang dek ketakutan yang mengancamnya. Wajah Zarkashi pucat lesi, dia duduk menunduk tidak mengangkat mukanya. Bajunya dicemari darah kering.


“Kau dah mati! Aku tengok tadi! Kau dah mati” Adi terjerit-jerit seperti orang gila. Zarkashi mendongak memandang Adi yang ketakutan itu. Bibirnya melebarkan senyuman.


“Shhhhhh…nanti orang lain tahu kau bunuh aku tadi” Zarkashi meletakkan jari telunjuknya ke bibirnya yang kering dan merekah itu.


“Kau nak apa? Ha? Kau nak balas dendam?” Adi mengenggam erat pisau rambo ditangannya. Dia tahu itu bukan lagi pemuda yang dia bunuh tadi, itu adalah syaitan yang menyerupai pemuda itu.


“hahaha…kau takut? Pengecut! Bacul!” tawa Zarkashi menyemarakkan kemarahan Adi. Pantang dia dihina sedemikian. Rasa takut di hatinya habis disingkir amarahnya yang menggunung.


“aku tak peduli kau ni apa! Setannn!!!!” Adi terus bingkas bangun dan menerkam ke arah Zarkashi dengan menghunus pisau rambonya sebagai senjata. 


Zarkashi hanya membiarkan sahaja Adi menyerangnya. Adi terus membenam mata pisau rambonya ke dada Zarkashi. Tetapi kali ini tikaman Adi di balas dengan tawa dari Zarkashi. 


Adi bertambah berang di ketawakan sebegitu, dia menarik keluar mata pisau itu. Darah memancut keluar dari bukaan luka di dada Zarkashi. Adi mengendahkan sahaja darah yang mmbuak-buak itu, dia terus menikam dada Zarkashi bertubi-tubi. Darah berhamburan di sekitar sofa lapuk itu. Tubuh Adi juga turut bermandikan darah hanyir. Tiada lagi kedengaran tawa dari Zarkashi yang terlonglai di atas sofa itu. 


Termengah Adi, dadanya berombak kencang. Keringat berbaur dengan darah yang menyimbah di tubuhnya. Adi mencabut pisau dari jasad Zarkashi yang tidak bergerak lagi. Puas! Begitu puas hatinya. Selayaknya makhluk yang menghina dirinya dihapuskan dari muka bumi.


“Dah puas bunuh orang?” Adi terenjat, suara itu datang dari belakangnya, suara itu! suara Zarkashi. Adi segera memutar pandangannya. Zarkashi berdiri utuh tersenyum merenungnya yang bermandikan darah. Adi segera berpaling memandang kembali jasad yang ditikamnya tadi. Yandri! Tubuh Yandri kaku dengan berlumuran darah yang mengalir dari luka-luka tikaman Adi.


“Kau, manusia membiar amarah mengawalmu..”Zarkashi merenung tajam ke arah Adi. “dan amarah akan memusnahkan kau!” Zarkashi menyeringai matanya memancar cahaya kehijauan. Tubuh badan Zarkashi menipis menjadi kepul asap hitam memenuhi ruang bilik itu. 


Dada Adi terasa sesak, lemas dengan asap hitam itu. Tubuhnya terkunci, seluruh anggota tubuhnya terbelenggu oleh satu rantai ghaib. Puas dia kerahkan seluruh kudratnya melawan, namun segalanya sia-sia. Dia tidak mampu bergerak walaupun seulas jemari kelingkingnya. 


Asap hitam yang berkepul-kepul itu memutar bagai tersedut ke satu arah hingga membentuk satu jasad dengan susuk manusia yang menakutkan. Dengan kuku yang meruncing, matanya bercahaya kehijauan. Rambutnya pula panjang mengurai berwarna putih. Dia menyeringai menampakkan sebaris giginya yang tajam kepada Adi. 


“si..siapa kau?ke..ke..kenapa kau ganggu aku?” dalam kepayahan Adi melontarkan pertanyaan kepada makhluk di depannya. Makhluk itu ketawa berdekah-dekah melihat wajah adi yang tadinya begitu menyinga dan kini hanya menikus ketakutan.


“aku? Aku pendamping Zarkashi, pemuda yang kau tikam tadi, nama aku Darkrai, itu nama yang diberikan dia pada aku..dia yang membebaskan aku..dia tuan aku!, tapi kau sakiti dia..kau bunuh dia!, sekarang aku mahukan nyawa kau sebagai ganti” suara garau makhluk itu mengetuk kuat ke gegendang telinga Adi.


“tolonglah! Aku sanggup beri apa sahaja kau mahu..” Adi merayu memohon belas dari makhluk itu.


“Aku mahu? Aku mahu nyawa kau jadi galang ganti kepada Zarkashi!” makhluk itu segera menerpa ke arah Adi. Berhempas pulas Adi meronta, namun dia tetap tidak dapat bergerak. Makhluk itu membenamkan kedua belah tangannya ke dada Adi. Kesakitannya tidak tertanggung oleh Adi. Sedang adi bergelut dengan maut, makhluk itu menyiat tubuh Adi kepada dua bahagian. Jasad Adi,tidak bernyawa lagi jatuh melonglai. 


Darah likat bergenangan di atas lantai, aroma hanyir darah bertebaran ke seluruh ruang rumah itu. Bau itu, bau yang digemari Darkrai makhluk belaan Zarkashi yang dinamakannya seperna pokemon kegemarannya. Dia tersenyum, tuannya pasti akan gembira dengan apa yang dilakukannya ini. Tubuh badan Darkrai mula menipis menjadi kabus hitam, dan menghilang tatkala ditiup bayu malam yang menghembus.

******


“Anak puan selamat, organ dalamannya tiada yang terkena tikaman, Cuma luka ringan di bahagian luar” Doktor Hanzalah menguntum senyuman meskipun dia kepenatan selepas beberapa jam berhempas pulas menyelamatkan nyawa Zarkashi.


“Alhamdulillah, sekarang saya boleh tengok dia?”Hati Puan Shaibah, ibu kepada Zarkashi berasa lega mendengarkan perkabaran dari Dr Hanzalah itu. Hatinya melonjak-lonjak untuk ketemu anak kesayangannya itu. Bekas air mata masih terkesan di birai kedua matanya.


“Dia belum sedar lagi tu, kami pun masih monitoring keadaan dia selepas pembedahan, nanti kalau dia dah stabil kami akan pindahkan dia ke wad biasa” balas Dr Hanzalah membuatkan Puan Shaibah berasa hampa. Namun dia tetap mengukir senyuman, tiada yang lebih penting dari mengetahui anaknya selamat ketika ini.


“Dr Hanzalah!” tiba-tiba kedengaran satu suara gemersik mencelus diantara pebualan Dr Hanzalah dengan Puan Shaibah. “Dr Rahma Zombi nak jumpa” maklum seorang jururawat genit kepada Dr Hanzalah. Dr Hanzalah hanya membalas dengan anggukan. Dr Rahma Zombi merupakan pakar bedah yang mengetuai pembedahan menyelamankan Zarkashi sebentar tadi.


“Puan, saya terpaksa pergi, nanti ada apa-apa saya akan inform semula ya” Dr Hanzalah tergesa-gesa meninggalkan Puan Shaiba sendirian di ruangan menunggu.


“Pelik bin ajaib!” Dr Rahma Zombi meneliti setiap perincian data yang direkodkan dari pembedahan Zarkashi tadi.

“Itulah, analisis awal kita..dia cedera teruk, sepatutnya tikaman tu mengena pada usus dia, dan semasa kita dalam  OT (operation theater) asalnye ususnya terkena tikaman tu…”


“Dan panetrating injuries semua hilang secara tiba-tiba” Dr Rahma Zombi memotong bicara Dr Hazalah secara tiba-tiba. 


“Susah kita nak beri report macam ni untuk keterangan pihak polis,” Dr Rahma mengurut janggutnya yang sejemput itu. Dahinya berkerut seribu. Benaknya sesak dengan persoalan dan kemungkinan. Dr Hanzalah hanya membisu, dia membiarkan sahaja mentornya itu menyelesaikan permasalahan itu.


Di dalam bilik rawatan, lengang tiada berorang. Zarkashi membuka kelopak matanya seraya tersenyum girang. Saka keris peninggalan arwah atuknya sangat mematuhi arahannya. Di perbaringan, Zarkashi mengenggam telefon pintarnya yang menjadi perantara dirinya dan Darkrai.


“Tuan aku telah ikuti dua syaratmu, menyerupai watak kegemaranmu, Darkrai dan juga aku tinggalkan keris pusaka itu lalu hidup di dalam telefon pintarmu..”tiba-tiba kedengaran suara Darkrai bergema. Kabut hitam berkepul dan memutar lalu memenuhi ruang bilik rawatan itu.


“jadi?kau nak apa?”


“aku mahukan dua nyawa manusia setiap purnama”


“bukankah kau dah dapat?”Tanya Zarkashi


“tidak, salah satu nyawa aku gunakan untuk menyelamatkan dirimu, tuan” suara garau itu terus bergema. Zarkashi terdiam sejenak.


“itu salah kau yang tidak melindungi aku sejak awal” Zarkashi bangun dari baringan dan duduk menyandar beralaskan bantal. “kalau kau mahukan juga,aku ada caranya”


“bagaimana?”


“kita gunakan ini, untuk mencari mangsa” Zarkashi mengangkat telefonnya lalu disuakan ke arah kabus hitam yang memutar itu. Terpamer pada skrin telefon Zarkashi perkataan ‘POKEMON GO’.

Ulasan