MALAM PILIHANRAYA




ALKISAH, di malam pilihanraya, kawan aku namanya Reza, ajak aku pergi gantung bendera parti dacing. Si Reza kawan aku tu memang kuat dacing. Aku pun kebetulan malam tu tak ada kerja, jadi aku pun setuju sajalah, bukan sebab aku ni kaki dacing. Aku daftar ngundi pun tak, sebab time aku pergi pejabat pos saja, ramai orang nak buat urusan asb. Terbantut selalu niat aku nak mendaftar.

Kami buat kerja lepas isyak. Gantung punya gantung, sampai di kedai mee siam tu, Si Reza ajak aku perkena mee siam. Aku pun setuju sajalah, sebab orang nak belanja. Rezeki jangan ditolak.

Lepas makan, kami borak sekejap. Tapi biasalah kalau menyembang rasa macam sekejap tapi makan juga 2 jam. Masa tu dah pukul 12, Reza ni tak nak balik lagi. Aku pun temankanlah dia, nak juga gantung bendera parti keramat dia tu.

Sampai dekat satu kawasan perkuburan, angin terasa dingin betul-betul dingin, bau bunga kemboja yang ditanam tepi kubur tu semerbak. Kawasan perkuburan sememangnya sunyi, sebab tak ada siapa nak lepak situ. Dulu ada geng acah-acah black metal lepak situ sambil menyanyi lagu puja setan. Tapi lepas kena sergah dek hantu tak ada kepala, tak ada siapa berani lepak situ lagi.

"Weh! Reza kita balik sajalah." kataku, bukan aku takut tapi mengantuk.

"Ada sikit lagi tu nak gantung, kau rileks sudah." katanya. Sebelah tangannya mengawal stereng kereta, sebelah lagi pegang phone. Bermesej dengan awek dialah tu. Awek dia kalau lambat balas, habis mengamuk jadi hulk.

"Kau gila ke apa Reza, gantung dekat kawasan kubur, orang kubur mana ngundi setan!"

"Alah, aku ni amanah, nak habiskan bendera tu, gantung je la mana tempat kosong, kubur ni takde lagi bendera dacing, jom gantung." kata Reza. Dia memakir kereta kancil ungunya di pinggir kawasan perkuburan itu.

"Gila!" aku pun terpaksa turun tolong si Reza.

"Kau tengok tu, kau kata tak ada orang gantung dekat kubur, kau tengok bendera mata tu ada pulak orang pacak, siap dekat atas kubur lagi." ujar Reza, dia melangkah ke arah kubur yang dipacak bendera parti mata tu.

Reza cuba tarik keluar bendera tu, tapi susah pula. "Apa dia orang konkrit ke dalam ni, susah sangat nak tarik keluar."

Aku pun pergi dekat Reza." Kau nak buat apa cabut?"

"Kau dah lupa tugas kita, gantung bendera dacing dan cabut bendera mata."

Aku mengangguk, lantaklah! Janji dapat upah. Aku pun tolong Reza untuk tarik keluar bendera tu. Usaha kami berdua berhasil apabila kayu pacak bendera itu mula bergerak keluar.

Tapi tersekat tiba-tiba di skala empat. Puas aku dengan Reza cuba tarik, tetap juga tak boleh.

"Kau nak tahu sebab apa kita tak boleh tarik?"

"Sebab apa Reza?" tanyaku seraya mengesat peluh yang mula bermanik di dahi.

"Kau tengok lambang bendera dia tu, lambang mata kan?"

Aku mengangguk sahaja. Lelah masih tersisa lagi. Tak larat nak bercakap banyak. Reza lain, stamina dia lain macam. Tengah berlari pun dia boleh bersyarah bab politik dacing dia.

"Lambang mata dajal tu, illuminati," ujar Reza sambil menunding jari ke arah bendera parti mata itu.

"Dah kalau iya pun mata dajal, apa kena mengena dengan susah nak cabut?"

"Kau ni slowlah macam nobita, setan, iblis semua pengikut dajal, jadi ni mesti dia orang letak black magic pada bendera ni,"

"Karut betul teori kau ni, sampai letak black magic dekat bendera." tingkahku, Reza memang suka buat teori sendiri, haritu dia kata sebenarnya bumi ni bentuk kubus. Aku malas nak layan masa tu, jadi aku biarkan saja dia bentangkan teori dia.

"Kau baca doa sikit, kau ustaz, sekolah agama, manalah tau boleh kita cabut bendera dajal ni" cadang Reza.

Aku hanya layankan sahaja kehendak Reza tu. Aku baca bismillah saja kuat, lepas tu aku buat mulut terkumat-kamit entah baca apa. "Ok, dah! Cuba kau cabut."

Kali ni mudah saja Reza tarik keluar, tapi bila nak sampai pangkal kayu pacak tu keluar, aku nampak ada tangan yang pegang kayu tu. Segera aku tahan Reza dari terus tarik.

" Kau ni apa hal pula? Dah bersubahat dengan dajal juga ke?"

"Dah, jangan tarik Reza."

"Ni aku marah, ni yang aku marah, member sendiri dah kena rasuk dengan hantu dajal."

"Bu... Bukan, kau tengok dekat bawah tu, dekat pangkal kayu." aku memuncungkan mulut menghala ke pangkal kayu pacak bendera mata tu.

Reza menitip arah yang aku maksudkan. "Tangan saja, kau macam nampak hantu pulak."

"Dah kalau tangan dari kubur macam ni, tangan apa?" balasku.

Reza terkebil seketika, mungkin otak dia tengah menghadam apa maksud kata-kata aku tadi. Sebelah tangannya masih memegang kayu bendera tu.

"Reza... A.. Aku nak terkucil, " aku terus lari tinggalkan Reza dekat kubur tu.

Aku berlari habis kencang, takut punya pasal. Tengah aku berlari tu, aku tersadung sesuatu. Jatuh tersungkur juga aku. Baru aku nak tengok benda yang aku tersadung tu, tiba-tiba tubuh aku dihempap dari belakang.

Terkial-kial aku nak lepaskan diri, rupanya Reza yang jatuh menghempap aku. Dia pun tersadung benda yang sama macam aku. Bila Reza dah alihkan tubuhnya, aku pun terpandang benda yang sadung kaki aku tadi.

Benda yang aku tersadung tadi tu adalah sekujur tubuh manusia berkafan. Kain kafan yang membaluti tubuh tu tampak lusuh dan kotor. Wajahnya tak kelihatan sebab ia berpaling membelakangkan kami.

"Reza, kau call tok adi sekarang, cakap dia lupa nak tanam mayat." Suara aku ketar habis.

"Lu... Lupa tanam ke keluar ba... Balik dari kubur? "

Tiba-tiba mayat berkafan tu berpaling menghadap kami berdua. Mukanya menakutkan, lidah mayat itu terjelir. Salah satu bola matanya terkeluar. Isi mukanya sudah mereput dan dimakan ulat. Hidungnya sudah rompong.

"Aku rasa ni mayat penyokong parti mata, sebab sokong dajal, bumi tak terima," bisik Reza pada aku.

"Lantaklah mayat siapa pun, aku nak lari!" Aku pun bangun semula dan terus berlari ke kereta tanpa menoleh ke belakang semula.

Sampai di kereta, aku tak boleh nak buka pintu kereta sebab berkunci. Aku berpaling balik pandang Reza. Dia berlari ke arahku, mayat berkafan tu bergolek laju mengejarnya di belakang.

"Reza, cepat woi! Pocong tu bergolek kejar kau," jeritku.

"Pocong golek ke? bukan sepatutnya lompat?" tanya Reza.

"kau lari sajalah, dia kejar kau tu," jeritku lagi. Sempat lagi Si Reza persoalkan cara pergerakan hantu tu.

Setelah sampai di kereta Reza terus buka kunci kereta. Dia tak guna remote sebab dah rosak. Kami segera masuk dalam kereta. Reza lekas-lekas hidupkan enjin kereta.

"Cepatlah bengong! kau tunggu apa lagi." kataku kepada Reza bila aku tengok dia macam terfikirkan sesuatu.

"Plastik yang ada bendera dacing tu aku tinggal dekat kubur tadi." muka Reza cuak habis. Peluh meleleh di muka dan lehernya.

"Tak payah fikirlah, jalan saja... "

BALM!

Mayat berkafan tadi tiba-tiba jatuh atas bonet kereta. Disebabkan bonet kereta kancil Reza tu kontot saja, mayat tu terus jatuh bergolek ke tanah.

"Jalanlah! Woi!" aku goyang bahu Reza.

"Mayat tu dekat depan, gila!"

"Langgar sajalah, tu hantu bukan mayat betul"

Menggelabah Reza masuk gear dan tekan pedal minyak. Bunyi enjin kereta berderum keras. Mayat tadi Reza lenyekkan saja dengan tayar. Tapi tak ada pula terasa macam langgar sesuatu.

Kami terus bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Kereta kancil ungu Reza terus bergerak membelah gelap malam yang seram.

"Hanat betul pocong parti dajal tu." sumpah Reza.

"Dahlah, kita balik sajalah, esok nak mengundi, nanti kau terlepas peluang pulak nak undi bijan kesayangan kau tu," kataku.

"Kau jangan nak membijankan idola aku, sebut nama dia elok,"

"Yelah, mahap... "

Tiba-tiba radio kereta terpasang sendiri, lagu rasmi parti dacing berkumandang.

" Harom, canggih kereta buruk kau, boleh pasang sendiri radio, tapi kenapa lagu dacing?" soalku.

"Radio kereta ni dah lama rosak, jilaker setan tu nak nganjing aku."

Tiba di satu selekoh tajam baik punya. Kami nampak mayat berkafan a. k. a pocong tadi berdiri terpacak tepi jalan.

"Jilaker, setan dajal, kau nak mainkan semangat dacing ya, siap kau!" Reza tekan pedal minyak. Kereta kancil yang kami naiki meluncur laju menghala ke arah pocong itu.

"Woi! Reza apa kau buat!" Aku semakin cuak bila kereta tu semakin laju dan tiada tandanya Reza nak membelok di selekoh tu.

GEDEGANG!

Kereta yang kami naiki merepuh tiang elektrik. Kepala aku terhantuk pada dashboard. Sakitnya bukan kepalang. Darah hangat mengalir dari luka akibat terkena serpihan kaca cermin. Dalam keadaan lemah, aku pandang Reza. Dia dah tak sedarkan diri. Bersidai lemah pada stereng kereta. Lepas tu aku pun pengsan juga.

Keesokan harinya, aku sedar-sedar aku berada di wad hospital. Tak teruk mana kecederaan aku. Reza pula aku tak tahu di mana masa tu. Lepas aku sedar, petang tu doktor bagi aku balik.

Aku cerita dekat mak aku yang aku dengan Reza langgar pocong. Tapi mak aku kata aku mengarut, bukan pocong tapi tiang elektrik yang terlilit dengan banner parti mata. Mungkin banner tu jatuh tiup dek angin. Lepastu melilit dekat situ, banner tu pula warna putih pula. Aku senyap sajalah, mungkin betul kata mak aku kami salah nampak. Tapi kejadian yang lain-lain tu takkanlah salah nampak juga, real kot pocong tu golek-golek kejar aku dengan Reza.

Esoknya, mak si Reza ada datang lepak membawang dengan mak aku. Kata mak dia, Reza tak cedera teruk pun, calar sikit saja. Cumanya, Reza tu kena demam panas bila keputusan pilihan raya diumumkan, parti dacing kesayangan dia kalah kali ni. Kasihan juga aku dekat Reza. Lebih malang lagi bila kami tak dapat upah pun pasang bendera sebab ada orang tengah songlap duit. Harom betul, aku tak halal duit tu!

 


Ulasan